Assalamualaikum...
Alhamdulillah, syukur dan selawat..
Hampir seminggu aku hidup tanpa smartphone mahupun handphone, sunyi dan sepi tanpa sebarang sapaan. Malam ni tergerak hati aku untuk berceloteh disini, meluahkan sesuatu yang terbuku didasar hati. Hidup yang kita lalui dari hari kehari menemukan kita dengan ramai orang, dari sapaan pertama menjadi kawan, teman, sahabat, kekasih, pasangan suami ataupun isteri.
Seseorang yang datang dalam hidup kita adalah sesuatu perkara yang sangat besar, dia datang dengan cerita hidupnya yang mungkin jauh berbeza dari kita. Mungkin perkenalan pertama tidak menjangkakan kisah hidup yang berbeza dari persepsi dan pandangan kita tapi ketahuilah hidup yang kita lalui tidak sama. Keperitan dan kesusahan hidup yang ditempuhi berbeza-beza, jangan cepat menghukum, jangan cepat memandang serong. Sombong dan angkuh pada mata kita sedangkan dia sedang perit untuk merapati orang lain, barangkali juga dia seorang yang pendiam dan sukar memulakan perhubungan. Boros dan tamak pada penglihatan kita sedangkan inilah kali pertama dia berbelanja hasil gajinya untuk keluarganya. Garang dan pemarah pada perbuatannya sedangkan dia sedang bertegas terhadap anak-anaknya supaya tidak terjebak dengan gejala yang negatif.
Dia datang kepada kita dengan cerita hidupnya, keluarganya tidak sama dengan kita, cara hidupnya tidak sama dengan kita, Cukuplah menghukum kenapa dan mengapa dia begitu begini, sebaliknya kenalilah dirinya dari asal usulnya. 'Someone coming into your life is a big thing because his whole life comes with him'.
Kepada mereka yang menerima aku, terimalah aku dengan kisah hidupku. Aku menjauh bukanlah kerana tidak suka atau benci tapi agar aku tidak disakiti. Aku berdiam bukanlah aku sombong tetapi banyak kata membuatkan aku banyak salah. Bila aku menolak bukan beerti aku tidak suka tetapi ada hal lain yang lebih perlu aku utamakan. Aku menyendiri kerana aku lebih merasa selesa bukannya menunjukkan keangkuhan. Terimalah aku dengan caraku kerana aku punya alasan dan sebab tersendiri dan percayalah tiada niat kesombongan dan keangkuhan.
1 comment:
berkawanlah dengan ikhlas
Post a Comment